Assalamualaikum w.b.t. Bismillahirrahmanirrahim.
Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah s.w.t sekiranya tuan/puan diizinkan,dipilih oleh Allah atau digerakkan hati untuk menjadi tetamu Allah. Sebelum menjadi tetamu Allah,
bolehlah merujuk serba sedikit tips memilih pakej umrah.
Pemilihan pakej umrah yang betul dan tepat adalah sangat penting untuk mengelakkan penyesalan di kemudian hari, kesabaran yang tidak diduga atau permasalahan yang tidak dijangka.
Ianya juga merupakan salah satu persediaan ilmu yang perlu dititikberatkan agar kita mendapat umrah yang diredhai Allah dan mendapat tarbiah (pendidikan secara langsung) semasa menunaikan ibadah Umrah dari Allah s.w.t. Waallahualam.
Berikut adalah tips-tips memilih pakej Umrah :
1. LATAR BELAKANG AGENSI
Antara perkara utama, yang perlu dititikberatkan sebelum
memilih pakej umrah, adalah melihat latar belakang agensi pelancongan/pengelola
umrah:
- Adakah agensi pelancongan/pengelola umrah tersebut mempunyai
lesen dan permit untuk 'outbound'
(membawa jemaah keluar negara) yang sah atau hanya ada permit untuk 'inbound'
(aktiviti pelancongan dalam negara) sahaja?
- Adakah agensi pelancongan/pengelola umrah itu menguruskan visa sendiri atau
menggunakan orang tengah atau agensi lain? Jika menggunakan orang tengah atau agensi lain, lebih baik
dielakkan. Dikhuatiri lewat mendapat maklumat visa dan kekurangan kuota visa
umrah secara tiba-tiba.
- Adakah agensi pelancongan/pengelola umrah yang berdaftar dengan Kedutaan
Arab Saudi?
- Adakah agensi tersebut berada dalam keadaan stabil dan telah
dikenali ramai dan mempunyai ramai Jemaah yang telah menyertai umrah bersama
mereka?
2. HARGA PAKEJ
Tuan/puan, boleh melihat dan
membandingkan harga pakej Umrah bergantung kepada jumlah wang yang diperuntukan
atau jumlah wang yang ingin dibelanjakan untuk mengerjakan umrah bersendirian atau bersama keluarga.
Kebiasaan harga pakej umrah adalah termasuk :
- Tiket penerbangan pergi balik
- Penginapan di Makkah dan Madinah
- Makan dan minum 3 atau 2 kali sehari
- Umrah 3 kali bersama mutawwif
- Ziarah Luar di Makkah dan Madinah
- Pengangkutan bas di Makkah dan Madinah
- Visa Umrah
- Kursus Umrah
- Cenderahati (beg sling,beg beroda, air zam-zam 10 liter, buku panduan umrah)
- Khidmat mutawwif
Sekiranya, terdapat keraguan mengenai pakej umrah yang ditawarkan, contohnya harga pakej tersebut hanya rm 4000 atau rm 3000 ke bawah, ianya kemungkinan adalah satu penipuan. Sebaiknya, tuan/puan perlu mengelak dari membeli atau membuat bayaran deposit secara tergesa-gesa apabila melihat harga pakej yang ditawarkan sgt murah.
Terdapat agensi pelancongan atau koperasi yang tidak berdaftar mengambil kesempatan dengan menawarkan beberapa skim Umrah MLM yang mengelirukan pelanggan terutama di kawasan kampung dengan mengenakan pembayaran tetap secara bulanan atau mencari downline bagi memudahkan urusan mendapatkan pelanggan.
Berikut adalah perbandingan ringkas jenis harga pakej :
- Harga pakej MAHAL – Kebiasaaannya, penginapan di Makkah dan
di Madinah adalah tetap (sudah dipajak/telah mendapat pengesahan tempahan) dan bergantung kepada harga tiket penerbangan (harga
tiket penerbangan lebih MAHAL kerana menggunakan penerbangan terus (DIRECT)
Jeddah atau Madinah.
- Harga pakej MURAH – Kebiasaannya, penginapan di Makkah dan di
Madinah disediakan belum tetap (lewat mendapat pengesahan tempahan dari pihak hotel)
dan bergantung kepada harga tiket penerbangan (harga tiket penerbangan lebih
MURAH jika ianya mempunyai persinggahan (TRANSIT). Contohnya, Transit di Oman, Bombay, Colombo, Abu Dhabi, Dhoha.
3. WAKTU
Jika musim cuti sekolah Disember, Mac dan Mei (di Malaysia) –
Jemaah di Makkah dan di Madinah terlalu ramai.
Jika musim sejuk Jan dan Feb, musim panas April – Jemaah di Makkah dan di
Madinah, kemungkinan tidak terlalu ramai.
4. JARAK
Kebanyakan hotel yang berdekatan
MasjidilHaram telah dirobohkan akibat proses pembesaran kawasan MasjidilHaram, pembinaan hotel mewah dan lain-lain.
Berikut adalah kadar anggaran jarak hotel penginapan Jemaah Tiram
Travel Sdn Bhd. Sekiranya tiada masalah dari segi tempahan hotel penginapan, kami masih
lagi menggunakan hotel-hotel dibawah :
- Hotel Saraya Ajyad – Anggaran jarak dalam lingkungan
200m-250m
- Hotel Saraya Iman – Anggaran jarak dalam lingkungan 250m
- Hotel Dallah Barakah (al Barakah) – Anggaran jarak dalam
lingkungan 400 m-500m.
Tuan/puan boleh mendapatkan maklumat sebenar jarak hotel
tersebut dengan bertanya kepada saudara mara atau ahli keluarga yang pernah mengerjakan
umrah bersama kami.
Agensi pelancongan/pengelola umrah lain juga turut menawarkan hotel
penginapan seperti Malak Agiyad, Royal
Sultan, Nada Khalil, Al Shohada – Anggaran jarak dalam lingkungan 400m-650m
5. TEMPOH PAKEJ
Setiap agensi pelancongan/pengelola umrah menawarkan tempoh pakej yang
berbeza, tempoh pakej juga adalah amat berbeza sekiranya pakej umrah tersebut mempunyai
TRANSIT, kadang-kadang memakan masa 3-4 jam menunggu di lapangan atau perlu di tidur di hotel transit yang disediakan
oleh pihak penerbangan atau di bawa keluar melancong di kawasan sekitar bandar transit
(tempat persinggahan).
- Bagi tempoh pakej umrah yang pendek, kebiasaanya dalam 11 hari 09 malam.
- Bagi tempoh pakej yang panjang, kebiasaanya dalam 15 hari 13
malam.
- Bagi tempoh pakej biasa, 12 hari 10 malam dan 13 hari 11 malam.
6. JENIS BILIK YANG DIINGINKAN
Kebanyakan agensi pengelola umrah
menyediakan pakej bilik berempat/berlima/berenam, bertiga dan berdua. Harga yang dikenakan adalah berbeza mengikut jenis bilik yang diinginkan.
Kebiasaanya, pakej untuk bilik berempat adalah amat terhad kerana ia merupakan harga promosi atau harga pakej minimum. Bagi jemaah yang lewat mendaftar, pihak agensi terpaksa mencadangkan jemaah untuk memilih dan membayar pakej untuk bilik bertiga atau berdua.
7. SYARIKAT PENERBANGAN YANG DITAWARKAN
Penerbangan MAS (Malaysia
Airlines) dan SV (Saudi Airlines) adalah DIRECT (terus) ke Jeddah. Jika
tuan/puan bernasib baik semasa membuat tempahan, kemungkinan penerbangannya
adalah terus ke Madinah. Tertakluk kepada jenis penerbangan berjadual atau sewa khas.
Ada diantara jemaah mengetahui penerbangan umrah mereka terdapat transit di saat-saat akhir, ini kerana mereka kurang mengambil perihal penerbangan transit. Tetapi ianya, perlu diambil tahu, supaya dapat bersedia menyediakan duit poket atau hand carry (beg bimbit) yang boleh dibawa masuk ke dalam kapal terbang, sekiranya terdapat masalah yang tak dapat dielakkan.
Berikut adalah penerbangan transit
dan anggaran masa transit :
- Penerbangan Emirates Airline (EK) – Transit di Dubai,UAE dan masa transit lebih
kurang 2 jam
- Penerbangan Etihad Airways (EY) – Transit di Abu Dhabi,UAE dan
masa transit lebih kurang 2 jam
- Penerbangan Qatar Airlines (QR) – Transit Qatar, Dhoha dan
masa transit lebih kurang 1 jam setengah
- Penerbangan Sri Lankan Airlines (UL) – Transit Colombo,Sri
Lanka dan masa transit lebih kurang 6 jam
- Penerbangan Oman Air (WY) – Transit Muscat, Oman dan masa
transit lebih kurang 5 jam
- Penerbangan Garuda Airlines (GA) – Transit Jakarta,
Indonesia dan masa transit lebih kurang 2 jam
- Penerbangan Jet Airways (9W) Transit Bombay, India dan masa
transit lebih kurang 6 jam
Bagi jemaah umrah yang telah berusia atau berumur atau
membawa kanak-kanak kecil adalah tidak digalakkan mengambil pakej Umrah transit ini
dikhuatiri, pihak penerbangan melewatkan tempoh transit atas masalah teknikal
dan lain-lain. Ini juga, akan menyebabkan jemaah kepenatan menunggu di Airport dan perlu mengeluarkan duit poket untuk
membeli makanan di Aiport sekiranya kelaparan.
8. KHIDMAT MUTAWWIF (PEMBIMBING)
Kebiasaannya, mutawwif sebagai pembimbing yang bertauliah disediakan dari
Malaysia, dan ada juga agensi pengelola umrah yang menggunakan khidmat mutawwif
Indonesia dan juga pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Makkah dan Madinah.
Terdapat juga, beberapa agensi yang menggunakan mutawwif yang kurang bertauliah ini
bagi menampung keperluan jemaah yang terlalu ramai terutama di musim cuti sekolah. Sekiranya, mendapat mutawwif yang kurang bertauliah, apabila tiba di Makkah atau Madinah, jemaah boleh mencari atau
meminta pertolongan dengan mutawwif dari agensi yang sama walaupun dari pakej yang berbeza (untuk mengenali mutawwif lain ianya adalah dari jaket yang disediakan oleh pihak agensi).
Ini adalah
sangat perlu, bagi jemaah merujuk sebarang masalah mengenai Umrah atau boleh
memohon jasa baik mutawwif yang kurang bertauliah tersebut merujuk atau mencari mutawwif yang lebih bertauliah dan
berpengalaman untuk menyelesaikan masalah jemaah.
9. KURSUS UMRAH
Tuan/Puan boleh bertanya adakah kursus Umrah disediakan dan bila kursus umrah tersebut diadakan. Kebiasaanya, ada agensi pengelola umrah, telah menetapkan tarikh kursus umrah dan ada juga kursus umrah yang ditetapkan dan dimaklumkan
di saat-saat akhir.
Sekiranya, belum pernah mengerjakan umrah, adalah amat
digalakkan untuk mengikuti kursus UMRAH beberapa kali agar dapat mempersiapakan
diri dengan ilmu untuk menunaikan Umrah.
10.SOLAT ISTIKHARAH & SOLAT TAUBAT
Ini merupakan tips terakhir sebagai bakal tetamu Allah sebelum kita membuat pemilihan yang terbaik, betul dan tepat. Solat istikharah perlu dilaksanakan agar kita dapat memohon kepada Allah agar diberikan ketenangan dalam memilih pakej Umrah yang bersesuaian dan menepati apa yang kita inginkan.
Untuk renungan, Allah sentiasa bagi apa yang kita perlu dan bukan apa yang kita mahu. Kita hanya mampu berusaha meminta, dan merancang serta memilih apa yang
terbaik untuk diri kita dan keluarga.
Tetapi, Allah jualah yang menentukan segalanya.
Andai pakej umrah mahal sekalipun yang kita pilih, andai di uji Allah dengan masalah-masalah yang tidak diingini, merayu dan merintihlah padaNya, agar kita diberikan kekuatan untuk solat, sabar dan syukur saat kita diuji di bumi berkahNya.
Solat taubat adalah salah satu cara membersihkan hati dan jiwa setelah kita melakukan dosa kepadanya. Biarlah kita datang sebagai tetamu Allah dalam keadaan suci hati dan jiwa, agar kita kembali begitu juga. Beristighfarlah dan berselawatlah ke atas junjugan Nabi Muhammad s.a.w sebanyak-banyaknya agar urusan kita di sana dipermudahkan Allah s.w.t.
Ingatlah, perjalanan umrah adalah suatu travelog atau kembara suci yang kita perlu kenang agar ianya memberi motivasi dan keyakinan agar kita makin kuat bergantung dan berdoa kepada Allah s.w.t dalam mengharungi kehidupan akan datang yang sangat mencabar.
Waallahualam.
Berikut adalah sumber senarai blog yang boleh dirujuk untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai tips memilih pakej umrah:
http://umrahkuyangbest.blogspot.com/2012/06/pakej-umrah.html
http://bicaraneem.blogspot.com/2012/04/tips-pilih-pakej-umrah.html
http://shakinafarhan.blogspot.com/2014/02/umrah-part-2-agency-and-cost.html
http://aididmuaddib.blogspot.com/2011/11/meh-pegi-umrah-dengan-duit-scam-haram.html
Alhamdulillah, ada komen yang baik dan positif dari jemaah-jemaah yang pernah menyertai pakej Umrah bersama Tiram Travel di dalam blog diatas. Kami ucapkan jutaan terima kasih.
Komen yang negatif pula,terima kasih diucapakn,tanpa komen negatif, kami mungkin tidak tahu di mana kelemahan kami,kami cuba sedaya upaya untuk memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan yang sedikit sebanyak boleh menjejaskan nama baik kami.
Jutaan terima kasih sekali lagi buat jemaah-jemaah yang pernah menunaikan ibadah Umrah bersama kami. Kami berharap dan berdoa agar Ibadah Tuan/Puan dan kesemuanya diterima Allah s.w.t.
Moga Allah tempatkan kita semua di dalam syurga.
Walllahualam.